Sunday 1 February 2015

KAYUHAN FIT MALAYSIA (FIT FOR LIFE)

1 Februari 2015 - Menyertai kayuhan Fit Malaysia dengan slogan "Fit For Life". Laluan kayuhan "OK" tetapi terdapat sedikit mini dragon back iaitu berbukit bukit seperti belakang seekor naga.

Setelah 2 tahun tidak menyertai mana-mana acara kayuhan basikal kerana pelbagai halangan, tahun 2015 merupakan permulaan kepada penyertaan acara kayuhan basikal. Terdapat ramai muka-muka baru dalam acara ini dan kebanyakannya adalah remaja. 

Satu pendedahan kayuhan kepada kumpulan remaja dan dilihat ada tidak sabar untuk menamat kayuhan dengan menggunakan semua tenaga untuk sentiasa berada dihadapan tanpa mengambilkira tenaga simpanan untuk ke garisan penamat.

10km pertama, kami terpaksa berhati hati dengan penunggang yang begitu ghairah dalam kayuhan untuk mengelak kemalangan. 20km kemudiannya semakin berkurangan penunggang yang bersaing di laluan dan 30km seterusnya laluan menjadi semakin reda dan selesa.

Selesai kayuhan kami pulang segera kerana kekangan masa tanpa menunggu hadiah cabutan bertuah. Tahniah kepada kerajaan Sembilan kerana berjaya menganjurkan sukan untuk rakyat jelata.





Sunday 11 January 2015

ETIKA KAYUHAN HARMONI

11 Januari 2015 - Membuat kayuhan 100km dari Ampang ke Genting Peres (Titi). Kayuhan interval kadangkala agak memenatkan. Hari ini ramai peminat sukan basikal membuat kayuhan secara berkumpulan.

Dalam perjalanan pulang ada basikal lipat membuat potongan sayur poloton kami. Mungkin pengayuh ini pendatang baru, kerana gaya kayuhan yang terburu-buru. Kami meningkatkan kayuhan 35 ke 45km sejam dan kemudiannya beliau hilang dari pandangan. Kami terpaksa membuat kayuhan 35 ke 45km sejam memandang gaya beliau menyelit nyelit celahan poloton kami amat merbahaya dan boleh mengundang kemalangan.

Mungkin esok akan tersemat dalam diari pengalaman beliau bahawa kalau kita laju masih ada pengayuh yang lebih laju dan se elok-eloknya kayuhlah dalam suasana yang harmoni dijalanraya. Kayuh laju tiada siapa yang marah tetapi adap mengayuh secara beretika perlu dijaga.









KAYUHAN JAM 6.50 - 9.35am

10 Januari 2015 - Membuat kayuhan jarak 100km dari Ampang melalui menara tinjau, tekala dan mendaki genting Peres. Memulakan kayuhan jam 6.50am dan tamat sekitar jam 9.35am. Laluan agak licin dan amat merbahaya semasa menuruni bukit, namun agak selesa kerana suasana cuaca mendung.

Agak lama tiada mempunyai kesempatan untuk kemaskini blog basikal kerana kesibukan dalam menyelesaikan rutin kerja walaupun rakaman gambar setiap kayuhan dibuat.

Agak jarang membuat kayuhan bersama rakan-rakan seperkayuhan kerana kekangan masa. Kalau dulu membuat kayuhan bersama rakan-rakan yang mengambil masa kayuhan sehingga lewat petang, kini masa yang ditetapkan hanyalah sekitar 2 ke 3 jam sahaja. Masa selebihnya bersama keluarga untuk tujuan-tujuan cuti dihari minggu.







Tuesday 19 August 2014

BIANCHI BACKSTREET ALL TERRAIN

8 Ogos 2014 - Pemulihan sebuah basikal jenama Bianchi Backstreet All Terrain telah siap setelah 7 bulan dihantar untuk tujuan pemulihan. Basikal ini dibeli dari pemilik Vietnam dalam keadaan tersangat lusuh tetapi masih lengkap dan berfungsi. Beliau menjualnya untuk membiayai kos perubatan isterinya di Malaysia.
 
Dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa basikal ini hanya ada 4 buah di Malaysia yang sempurna dan berfungsi. Saya telah mendapat tawaran yang agak lumayan dari peminat basikal untuk memiliki basikal ini. Bila keseorangan saya termanggu-manggu samada untuk menjual atau terus memiliki basikal ini.

Sahabat karib saya berkata "duit boleh dicari tetapi basikal "rare" tidak sentiasa ada untuk dibeli"....
 





Sunday 4 May 2014

HARLEY KE KUALA KLAWANG

4 Mei 2014 - Menunggang Harley mencari kuih Dangai di Kuala Klawang. Mengakui kekurangan pengalaman menunggang "Easy Rider" dengan kekuatan kuasa 1200cc terasa agak sukar untuk mengambil selekoh tajam di laluan berliku-liku tersebut.

Beberapa buah motosikal jenama versys juga dengan ketinggian dari paras tanah kelihatan agar sukar untuk mengambil selekoh tajam di laluan tersebut. 

Secara jujurnya, mengakui bahawa agak sukar untuk menunggang Harley di kawasan selekoh-selekoh tajam dilaluan dua hala, tetapi selesa dilaluan "highway".














Monday 3 February 2014

KAYUHAN GANTIAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN

3 Februari 2014 - Sempena cuti gantian Hari Wilayah Persekutuan Malaysia, kami mengambil peluang membuat kayuhan dalam fenomena suhu di Malaysia yang menurun ke paras 17.8 darjah Celcius. Kayuhan awal pukul 7.00 pagi dengan suasana masih gelap dengan kedinginan dirasai kembali di tahun-tahun 1970an dimana Alam semulajadi masih kekal menghijau.

 Berkabus






Di awal tahun 1970an , ramai rakyat Malaysia bergantung kepada sungai untuk pelbagai aktiviti harian seperti membasuh, mandi-manda, memukat, memancing dan sebagainya disamping menggunakan perigi bagi yang berada jauh di hutan pendalaman. Ketiga ini air berada hampir diparas hampir beku dan amat sukar untuk mandi bagi yang perlu hadir sekolah sesi pagi.

Bagi yang perlu hadir sekolah sesi pagi terpaksa meredah hutan berbelas batu (sekarang km) dengan kedinginan dibasahi dek embun pagi. Tahukah anda bahawa kami warga tahun 1970an perlu bangun seawal jam 4.30 pagi kerana perlu bertolak ke sekolah seawal jam 5.00 pagi. Manakala aktiviti menoreh getah bermula seawal jam 3.00 pagi yang dikenali warga kampung sebagai MENYULUH yakni menggunakan pelita kabaid yang dilekatkan di kepala untuk menyuluh kawasan torehan pokok getah.

Kalau sekarang warga tahun 2000 terpaksa  mengadai nyawa dijalanraya untuk mencari nafkah, kami warga 1970an terpaksa bergadai nyawa dengan binatang buas meredah belantara untuk aktiviti sekolah, menoreh dan mencari hasil hutan untuk ditukar menjadi duit/wang.

Itulah apabila diimbaskan kembali kepada zaman lampau.....

Sunday 2 February 2014

MENCARI BUKIT

2 Februari 2014 - Membuat kayuhan 90km. Semasa membuat kayuhan bertemu dengan Daniel yang datang sejauh hampir 70km dari Klang, Selangor semata-mata untuk menikmati kayuhan Alam semulajadi di Hulu Langat, Selangor. Kami berborak panjang dalam kayuhan bersama dari Donglai mendaki Genting Peres. 

Kayuhan 90km - 100km bukanlah sesuatu yang sukar dalam sukan berbasikal. Semua penggemar sukan basikal mampu untuk melakukannya kerana ia bukan "pace" perlumbaan. Kayuhan hari ini mampu membakar kalori sebanyak 2800 kalori kerana ada menggunakan teknik berehat semasa mengayuh. Atas latihan demi latihan, kini kami tidak perlu untuk berhenti menikmati makanan dalam kayuhan kerana amalkan teknik rehat tersebut.

Anda juga mampu mencipta teknik-teknik kayuhan sendiri. Tidak semua teknik yang telah dicipta oleh mereka yang telah menjadi lagenda sesuai untuk diamalkan oleh kita kerana manusia dicipta dengan banyak perbezaan dari segi fizikal, kekuatan kapasiti jantung dan lain-lain. Namun begitu kejayaan teknik-teknik terdahulu boleh di adaptasi dlam teknik-teknik ciptaan kita sendiri.